Kita sering mendengar daripada kalangan kaum Tionghua termasuk tokoh-tokoh yang telah memeluk Islam bahawa sambutan Tahun Baru Cina ini adalah sekadar adat tradisi semata-mata dan ia tidak mempunyai kaitan dengan ajaran sesuatu agama.
Oleh itu, umat Islam dianggap boleh untuk turut serta dalam merayakannya. Jika kita benar-benar mendalami ajaran agama Konfusianisme, khususnya tentang sambutan perayaan-perayaan mereka, maka akan terbukti bahawa kenyataan tersebut adalah tidak benar.
Ini adalah kerana sambutan Tahun Baru Cina adalah merupakan sebahagian daripada ajaran agama Konfusianisme yang tidak dapat dipisahkan dan ia bukannya adat tradisi semata-mata.
Dalam sebuah buku karangan penganut Konfusianisme, Dr. Hendrik Agus Winarso yang berjudul ‘Mengenal Hari Raya Konfusian’ (Semarang : Effhar & Dahara Prize, 2003) hal. vi-vii, ia menyatakan bahawa kebanyakan masyarakat kurang memahami Hari Raya Konfusianisme.
Beliau memberi contoh, “Misalnya Tahun Baru Cina yang dianggap sebagai tradisi orang Tionghua.” Oleh yang demikian, pandangan yang mengatakan bahawa sambutan Tahun Baru Cina adalah sekadar adat tradisi dan tidak ada hubung kait dengan agama adalah suatu kesalahfahaman, menurut penulis berkenaan (Ibid., hal. v).
Dalam buku tersebut, Dr. Hendrik telah membuktikan dengan meyakinkan bahawa sambutan Tahun Baru Cina adalah sebahagian daripada ajaran Konfusianisme. Dr. Hendrik menerangkan, Tahun Baru Cina atau dikenali juga sebagai Sin Cia, merupakan suatu momentum untuk memperbaharui diri. Momentum ini dinyatakan dalam salah sebuah kitab suci Konfusianisme iaitu kitab Lee Ki, bahagian Gwat Ling, yang berbunyi:
“Hari permulaan tahun (Liep Chun) jadikanlah sebagai Hari Agung untuk bersembahyang besar ke hadrat Thian, kerana Maha Besar Kebajikan Thian. Dilihat tiada nampak, didengar tiada dengar, namun tiap yang wujud tiada yang tanpa Dia… (Tiong Yong XV : 1-5)
(Lihat Hendrik Agus Winarso, Mengenal Hari Raya Konfusian, [Semarang : Effhar & Dahara Prize, 2003], hal. 60-61).
Penulis tersebut telah membuat membuat kesimpulan bahawa sambutan Tahun Baru Cina adalah merupakan sebahagian daripada ajaran Konfusianisme. Beliau mengatakan bahawa:
“Dengan demikian, menyambut Tahun Baru bagi umat Konfusianisme Indonesia mempunyai erti ketakwaan dan keimanan.” (ibid., hal. 61).
Maka oleh itu adalah tidak benar pendapat-pendapat yang menyatakan bahawa sambutan Tahun Baru Cina adalah hanya sekadar adat tradisi orang Tionghua semata-mata dan ia bukan perayaan agama. Sedangkan hakikatnya, ia adalah sebahagian daripada ajaran agama Konfusianisme.
